News Hightlight

PERUTUSAN MSOSH SEMPENA HARI SEDUNIA BAGI KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN 2019

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Tahun 2019 merupakan tahun terbaik Negara apabila Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (DKKPN) bagi melindungi hak asasi pekerja serta mendapatkan persekitaran pekerjaan yang selamat, sihat dan kondusif telah dilancarkan pada 27 Feb 2019.

MSOSH mengucapkan tahniah kerana dasar yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri dan ditandatangani Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya diwujudkan dan ianya menunjukkan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Negara ini.

Ianya selari dengan tema sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja tahun ini, iaitu ‘Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Pada Masa Depan'. Komitmen yang ditunjukkan oleh kepimpinan pada masa ini akan menatijahkan prestasi KKP yang lebih baik di masa depan.

Sebagai sebuah NGO yang telah berusia lebih 40tahun, MSOSH terus bergerak ke depan selari dengan Revolusi Perindustrian 4.0. Pelbagai kolaborasi, konsultasi, audit, latihan dan seminar secara berterusan dilaksanakan oleh MSOSH bagi membantu industri merealisasikan OSHMP 2020 yang telah disasarkan oleh kerajaan.

MSOSH juga berusaha mempromosikan aspek kesihatan pekerjaan bagi mewujudkan budaya pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja. Kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja boleh dikawal dan dielakkan sekiranya pihak industri diberikan kesedaran awal dan memahami impak risiko kepada pekerja di masa akan datang. Latihan dan kesedaran berterusan sangat penting untuk semua industri bagi memastikan kesinambungan KKP di masa depan.

MSOSH akan meneruskan kerjasama erat dengan pelbagai pihak ke arah mempertingkatkan tahap KKP bukan sahaja di Malaysia malahan di persada antarabangsa. Kita ingin memastikan pengamal KKP di Negara ini bukan sahaja boleh membina masa depan di Negara sendiri tetapi kompetensi mereka mampu memberi impak kepada masa depan KKP di negara lain.

MSOSH mengucapkan terima kasih semua komuniti KKP diluar sana sama ada pihak majikan, pekerja, pengamal KKP dan NGO yang mendokong DKKPN dan bersama kita bergandingan bagi memastikan visi dan misi OSHMP dapat dicapai.

Akhir kata MSOSH mengucapkan Selamat Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2019.

Sekian, terima kasih.

MSOSH

The Malaysian Society for Occupational
Safety & Health (MSOSH)

Wisma MSOSH
No. 1, Jalan Pegaga D U12/D
Section U12, 40170 Shah Alam,
Selangor, Malaysia.

  Tel: +603-3359 8046/8048/8049
Fax: +603-3358 7196

Don't have an account yet? Register Now!

Sign in to your account